sekolah menengah teknik alor setar

Sejarah Sekolah

Sekolah Menengah Teknik Alor Setar (SMTAS), Kedah Darul Aman telah ditubuhkan pada tanggal 16 April 1972. Tarikh bersejarah ini merupakan titik permulaan sistem pembelajaran teknikal di negeri Kedah. Pengetua pertama sekolah ini iaitu Tuan Haji Abdul Razak bin Mohd. Sharif, (AMN) telah menerajui SMTAS sehingga tahun 1979. Pada peringkat awalnya, pelajar tingkatan empat hanya berjumlah 127 orang dengan 7 orang guru telah menumpang sementara di Sekolah Menengah Keat Hwa, Jalan Kuala Kedah, Alor Setar. Pada ketika itu, terdapat empat kelas sahaja iaitu dua kelas jurusan Mekanikal dan dua kelas jurusan Binaan. Pada Oktober 1972, pelajar dan guru SMTAS mula berpindah ke bangunan sendiri yang terletak di Batu 2, Jalan Sungai Korok dan kini dikenali sebagai Lebuhraya Sultan Abdul Halim.

Pada tahun 1973, dua lagi kelas jurusan Pertanian mula dibuka kerana sekolah telah mendapat pertambahan tujuh kelas tingkatan empat dan tujuh kelas tingkatan lima. Bilangan guru turut bertambah tahun demi tahun seiring dengan pertambahan pelajar yang kebanyakannya berasal dari luar bandar. Hal ini dapat dilihat apabila sejumlah 24 orang guru pada tahun 1974 meningkat kepada 31 orang pada tahun 1977 dan seterusnya pada tahun 1979, bilangan guru adalah seramai 37 orang. Pada tahun 1980, enrolmen pelajar berjumlah 664 orang terus meningkat kepada 669 orang pada tahun 1981.

Pada tahun 1985, SMTAS mula mengalami pembangunan pesat dari segi struktur fizikal iaitu pembinaan makmal, bilik sumber, bilik gerakan, gelanggang takraw, bola tampar, tenis dan bola keranjang serta bangunan dewan makan telah dapat didirikan dalam tempoh dua tahun.

Sejak tahun 1992 sehingga 1998, sekolah ini berkembang dengan pesatnya dari segi fizikal dan sumber manusia. Pada tahun 1992, empat jawatan Guru Ketua Bidang diwujudkan dan pertambahan tenaga pengajar seramai 48 orang guru. Pembinaan bangunan tambahan telah dijalankan, yang meliputi kantin, dewan sekolah, satu blok bangunan tiga tingkat yang menempatkan 6 buah bilik darjah, perpustakaan, klinik gigi, bilik SPBT, koperasi, bilik pengawas dan bilik Unit Bimbingan dan Kaunseling. Ini diikuti dengan pembinaan satu blok bangunan tiga tingkat asrama puteri, dua blok bangunan asrama putera, sebuah surau dan padang permainan. Dengan pertambahan dari segi infrastruktur, bilangan pelajar serta jurusan yang ditawarkan juga turut meningkat. Ketika itu, SMTAS mempunyai 8 buah kelas Tingkatan Empat dan 8 buah kelas Tingkatan 5 dengan pelajarnya seramai 611 orang dan tenaga pengajar seramai 50 orang guru. Kursus yang ditawarkan ialah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Awam, Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Sains Pertanian dan Perdagangan. Manakala, kelas Tingkatan Enam yang dibuka pada tahun 1976 telah dimansuhkan pada tahun 1996.

Pada tahun 2008, kelas tingkatan enam dibuka semula, dua kelas tingkatan enam atas dan dua kelas tingkatan enam rendah. Subjek yang ditawarkan ialah Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Pengurusan Perniagaan, Ekonomi dan Sains Sukan.

Kejayaan dan pencapaian cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum telah melayakkan SMTAS mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan pada tahun 2009 dengan kebitaraan bidang Sains Pertanian, Matematik Tambahan, Robotik dan Sofbol. Namun begitu kebitaraan Matematik Tambahan dan sofbol telah digugurkan pada akhir tahun 2014.

Tahun demi tahun, SMTAS berjaya meningkatkan prestasi dalam kurikulum dan kokurikulum dan mula disegani sebagai salah satu sekolah menengah teknik yang cemerlang. Kini SMTAS sedang berusaha ke arah Sekolah Berprestasi Tinggi seperti yang termaktub dalam Visi SMTAS.